Untuk pesta malam ini, setiap fakulti diminta membuat persembahan kebudayaan dan dipertandingkan di depan juri. Amri yang periang dan lincah orangnya mudah sekali mendapat kepercayaan untuk mencipta konsep persembahan untuk fakulti kami. Amri campur adukkan lagu-lagu nasyid yang berunsur cinta dan perkahwinan menjadi satu gubahan lagu yang entah apa-apa. Sengaja dipilih tema cinta dan perkahwinan kerana ketika ini tema-tema seperti itulah yang mendominasi industri hiburan nasyid. Lagu-lagu yang indah liriknya itu sangat melucukan apabila dinyanyikan oleh kami yang buta irama. Sebarang lagu kami nyanyikan walaupun temponya berterabur. Pemain gendang tercengang-cengang mencari rentak. Itu sahajalah yang mampu kami lakukan dalam masa latihan yang kurang satu jam. Aku hanya mengikut. Apa yang disuruh aku buat. Tidak membantah apalagi hendak menokok tambah. Sebetulnya aku tidak ikhlas. Sememangnya, jasadku di dalam kumpulan ini tapi hatiku bergentayangan entah ke mana. Hatiku ada pada perempuan itu. Kami diikat bai'ah cinta yang belum matang.
"Woi Zam, kau dah sampai ke planet mana? Orang sibuk berlatih, dia sibuk berangan." Aiman sengaja menjerit di depan muka aku sambil menolak perlahan pipi aku yang cengkung. Aku tersengih-sengih. Semua mata menumpu kepada gelagat aku yang selayaknya diberi makan selipar jepun sekejap lagi.
"Maaf." Perkataan itu aku tujukan kepada Amri, Aiman dan Razzlan dan juga lain-lainnya yang sedang sibuk berlatih.
dengan pisau pemotong daging ni
biar kulit berparut kekal
biar tulang bercalar balar
dengan pisau pemotong daging ni
aku bukan nak penggal atau sembelih
aku hanya mahu menghiris!