Monday, March 9, 2009

Malam Muda Mudi

Semester pertama bermula dengan seribu macam kekalutan. Hidup sebagai mahasiswa seharusnya hidup yang mengelek buku dan maklumat. Bukannya hidup yang malu pada ilmu tapi bangga membuat maksiat. Itu yang aku belajar selama beberapa minggu menyusur di celah-celah dinding kampus biru ini. Walaupun kami masih muda di sini, tapi aku sudah menyaksikan seorang demi seorang teman seperjuangan tekad menamatkan pelajaran dan berpindah ke daerah penghidupan yang lain. Sama ada meneruskan semangat mengaji di tempat lain atau bekerja sepenuh masa mencari duit gaji. Pengajaran yang aku dapat, aku tidak boleh alpa merancang waktu. Aku mesti memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencabar nasib.

Dalam soal pelajaran, Aiman yang paling lemah jiwanya. Razzlan yang paling bertungkus lumus manakala aku pula yang paling tidak menentu. Bersemangat di permulaan, kendur di pertengahan dan kembali tersedar ketika di pengakhiran. Namun yang paling menyerlah adalah Amri. Kami hairan melihatkan cara belajarnya yang bersahaja tapi sentiasa menghasilkan keputusan yang cemerlang. Mujur kami berempat saling melengkapi. Mana-mana yang tercicir dikutip sama-sama. Mana-mana yang terlebih dikongsi-kongsi. Inilah kemanisan ukhuwah di alam kampus.

“Ramai juga anak dara yang comel-comel dalam kelas kita tadi kan? Kalau dapat satu jadi teman hidup, sumpah aku tak cari yang lain.” Amri tergelak besar. Dia melarikan tumpuan kami daripada khusyuk menekuni pelajaran kepada isu yang sangat streotaip untuk kaum Adam. Perempuan dan cinta. Kawan, bagi kaum laki-laki inilah satu lagi kemanisan hidup di kampus yang majoritinya perempuan. Pilihan banyak katanya.

“Esok hari Sabtu. Malam ni kita overnight mahu?” kata Amri bersemangat. Diangkat-angkat keningnya dan tersengih-sengih. Kami saling memandang. Razzlan mengangkat punggung menuju ke kamar tidurnya. Aku dan Aiman masih diam. Amri mengeluh kerana jawapannya tidak bersambut. Tidak lama selepas itu, Razzlan keluar semula sambil membalingkan anak kunci ke riba Amri yang sedang duduk bersila.

“Nah kunci kereta. Kau pandu. Aku tak larat.” Seraya ayat itu keluar dari mulut Razzlan, Amri lantas melompat bangun dari duduknya.

“Wooo! Malam pesta muda mudi! Bertemasya dan menari!" Amri menghentak-hentak kaki girang mengikut irama lagu yang dinyanyikannya.

“Ayuh cepat siap-siap. Nanti kalau dah jam dua belas tengah malam, susah nak keluar. Nanti pak guard depan tu banyak soal siasat.” Amri separuh menjerit.

“Kita nak ke mana?” Aiman bertanya.

“Tengok pondan di Lorong Haji Taib!” Amri menjawab selamba. Kami mengangkat-angkat kening. Ketawa.

Tuesday, February 24, 2009

Bai'ah Cinta

Malam itu kami dibenarkan berpesta. Meraikan kedatangan kami sebagai orang baru di kampus biru ini. Meraikan ketabahan kami mengharungi minggu orientasi yang memenatkan. Yang lelaki berkumpul di dewan kecil manakala yang perempuan diasingkan di dewan besar kerana jumlahnya sudah berlebih-lebih. Oh! Patutkah aku berbangga menjadi lelaki minoriti di sini?

Serasanya baru semalam aku melangkah kaki ke sekolah kampung seawal usia tujuh tahun. Melewati usia belasan tahun dengan segala kekalutan yang banyaknya menghiris hati mak. Mencabar kesabaran orang tua hingga mengundang sepak terajang ayah. Terbayang-bayang bagaimana aku disepak dari ruang tamu hingga ke bilik air kerana malas sembahyang. Pernah dua kaki aku diikat pada hujung katil kerana asyik bergaduh dengan adik-adik. Dengan susah payah aku mampu juga berdiri menjadi anak pertama dalam keluarga menjejakkan kaki ke universiti.

Bai'ah yang aku angkat hari ini bukan sumpah kepada universiti ini, tapi sebenarnya sumpah kepada mereka yang telah melahirkan dan membesarkan aku. Mak, ayah. Pahlawan tanpa tanda jasa yang pastinya akan tetap dikenang. Air mataku tertahan-tahan di hujung acara membaca bai'ah. Mak, ayah, jangan biarkan Zam dimakan sumpah.

Untuk pesta malam ini, setiap fakulti diminta membuat persembahan kebudayaan dan dipertandingkan di depan juri. Amri yang periang dan lincah orangnya mudah sekali mendapat kepercayaan untuk mencipta konsep persembahan untuk fakulti kami. Amri campur adukkan lagu-lagu nasyid yang berunsur cinta dan perkahwinan menjadi satu gubahan lagu yang entah apa-apa. Sengaja dipilih tema cinta dan perkahwinan kerana ketika ini tema-tema seperti itulah yang mendominasi industri hiburan nasyid. Lagu-lagu yang indah liriknya itu sangat melucukan apabila dinyanyikan oleh kami yang buta irama. Sebarang lagu kami nyanyikan walaupun temponya berterabur. Pemain gendang tercengang-cengang mencari rentak. Itu sahajalah yang mampu kami lakukan dalam masa latihan yang kurang satu jam. Aku hanya mengikut. Apa yang disuruh aku buat. Tidak membantah apalagi hendak menokok tambah. Sebetulnya aku tidak ikhlas. Sememangnya, jasadku di dalam kumpulan ini tapi hatiku bergentayangan entah ke mana. Hatiku ada pada perempuan itu. Kami diikat bai'ah cinta yang belum matang.

"Woi Zam, kau dah sampai ke planet mana? Orang sibuk berlatih, dia sibuk berangan." Aiman sengaja menjerit di depan muka aku sambil menolak perlahan pipi aku yang cengkung. Aku tersengih-sengih. Semua mata menumpu kepada gelagat aku yang selayaknya diberi makan selipar jepun sekejap lagi.


"Maaf." Perkataan itu aku tujukan kepada Amri, Aiman dan Razzlan dan juga lain-lainnya yang sedang sibuk berlatih.

dengan pisau pemotong daging ni
biar kulit berparut kekal
biar tulang bercalar balar
dengan pisau pemotong daging ni
aku bukan nak penggal atau sembelih
aku hanya mahu menghiris!

Sunday, February 22, 2009

Dia Perempuan Curang!

Aku sepatutnya berada di sini bersama-sama dia. Dialah yang menyarankan aku memilih universiti yang ini. Katanya, tempat ini penuh nilai keagamaan dan penghuninya baik-baik belaka. Universiti ini telah melahirkan ramai cerdik pandai dan para ulama. Dia sungguh-sungguh mahu aku belajar di sini dengan harapan aku menjadi orang suci yang mengerti makna cinta hakiki. Aku menurut kata tanpa sedikit pun membantah. Ah! Demi cinta mana mungkin aku membantah. Sudah terbayang-bayang di dalam kepala aku akan manisnya pengalaman menimba ilmu bersama-sama dia. Betapa aku tidak akan keseorangan di kota besar kerana dia pastinya akan tetap di sisi. Betapa dia akan mengajar aku pelajaran-pelajaran yang memusykilkan hingga aku berjaya sepertimana peperiksaan tingkatan lima yang lepas.

Tapi tidak tersangkakan dia mungkir janji. Dia langsung tidak memohon untuk ke sini. Dia langsung tidak menyimpan cita-cita untuk bersama-sama menemani aku di kampus biru ini. Hatiku berteriak garang. Dia perempuan curang!

"Woi Zam, kau dah sampai ke planet mana? Orang sibuk berlatih, dia sibuk berangan." Aiman sengaja menjerit di depan muka aku sambil menolak perlahan pipi aku yang cengkung. Aku tersengih-sengih. Semua mata menumpu kepada gelagat aku yang selayaknya diberi makan selipar jepun sekejap lagi.

"Maaf." Perkataan itu aku tujukan kepada Amri, Aiman dan Razzlan dan juga lain-lainnya yang sedang sibuk berlatih.

dengan pisau pemotong daging ni
biar kulit berparut kekal
biar tulang bercalar balar
dengan pisau pemotong daging ni
aku bukan nak penggal atau sembelih
aku hanya mahu menghiris!

Cinta Pertama

Tahukah kamu akan cerita yang paling menyiksakan buat sang pencinta? Sang pencinta yang menerjah gerbang cinta dek bertuhankan rasa rindu. Sang pencinta yang terkorban kerana melanggar kebiasaan. Sang pencinta yang terpaksa membayar hukum harga yang tidak setimpal. Itulah cerita cinta yang tidak dipedulikan. Pedih!

Sesungguhnya tiada maaf bagimu Yasmin! Kau mahu aku mencari cinta hakiki bukan? Akan aku ceritakan padamu nanti tentang apa ertinya cinta. Mengertikan kawan, orang yang putus cinta selalu merasakan yang dia sangat memahami cinta. Sesungguhnya sedikitpun dia tidak. Ya aku memang bodoh!

"Woi Zam, kau dah sampai ke planet mana? Orang sibuk berlatih, dia sibuk berangan." Aiman sengaja menjerit di depan muka aku sambil menolak perlahan pipi aku yang cengkung. Aku tersengih-sengih. Semua mata menumpu kepada gelagat aku yang selayaknya diberi makan selipar jepun sekejap lagi.

"Maaf." Perkataan itu aku tujukan kepada Amri, Aiman dan Razzlan dan juga lain-lainnya yang sedang sibuk berlatih.

dengan pisau pemotong daging ni
biar kulit berparut kekal
biar tulang bercalar balar
dengan pisau pemotong daging ni
aku bukan nak penggal atau sembelih
aku hanya mahu menghiris!