Dalam soal pelajaran, Aiman yang paling lemah jiwanya. Razzlan yang paling bertungkus lumus manakala aku pula yang paling tidak menentu. Bersemangat di permulaan, kendur di pertengahan dan kembali tersedar ketika di pengakhiran. Namun yang paling menyerlah adalah Amri. Kami hairan melihatkan cara belajarnya yang bersahaja tapi sentiasa menghasilkan keputusan yang cemerlang. Mujur kami berempat saling melengkapi. Mana-mana yang tercicir dikutip sama-sama. Mana-mana yang terlebih dikongsi-kongsi. Inilah kemanisan ukhuwah di alam kampus.
“Ramai juga anak dara yang comel-comel dalam kelas kita tadi kan? Kalau dapat satu jadi teman hidup, sumpah aku tak cari yang lain.” Amri tergelak besar. Dia melarikan tumpuan kami daripada khusyuk menekuni pelajaran kepada isu yang sangat streotaip untuk kaum Adam. Perempuan dan cinta. Kawan, bagi kaum laki-laki inilah satu lagi kemanisan hidup di kampus yang majoritinya perempuan. Pilihan banyak katanya.
“Esok hari Sabtu. Malam ni kita overnight mahu?” kata Amri bersemangat. Diangkat-angkat keningnya dan tersengih-sengih. Kami saling memandang. Razzlan mengangkat punggung menuju ke kamar tidurnya. Aku dan Aiman masih diam. Amri mengeluh kerana jawapannya tidak bersambut. Tidak lama selepas itu, Razzlan keluar semula sambil membalingkan anak kunci ke riba Amri yang sedang duduk bersila.
“Nah kunci kereta. Kau pandu. Aku tak larat.” Seraya ayat itu keluar dari mulut Razzlan, Amri lantas melompat bangun dari duduknya.
“Wooo! Malam pesta muda mudi! Bertemasya dan menari!" Amri menghentak-hentak kaki girang mengikut irama lagu yang dinyanyikannya.
“Ayuh cepat siap-siap. Nanti kalau dah jam dua belas tengah malam, susah nak keluar. Nanti pak guard depan tu banyak soal siasat.” Amri separuh menjerit.
“Kita nak ke mana?” Aiman bertanya.
“Tengok pondan di Lorong Haji Taib!” Amri menjawab selamba. Kami mengangkat-angkat kening. Ketawa.